Friday, November 15, 2019

3 TAHUN 7 Bulan SEBAGAI ODHA/PLHIV

Assalamualaikum semua,

Kini genap 3 tahun 7 bulan aq sebagai ODHA/PLHIV. Dulu aku rasakan diri aku sebagai malang kerana ada penyakit ni. Tapi lama kelamaan aq dapat terima hakikat dan bersyukur Allah telah jentik aku dengan penyakit ini untuk aku sedar dari terbuai dengan nikmat dunia dan godaan syaitan. Bukanlah nak kata aku 100% berubah tetapi sedikit demi sedikit aku cuba berubah walaupun sangat payah dan penuh pancaroba.

Dalam masa 3 tahun 7 bulan ini juga aq berjumpa rakan - rakan senasib yang mungkin kisah mereka jauh lebih kesian dari aku. Ada yang pernah dimasukkan ke dalam wad kerana CD4 jatuh mendadak. Aku masih lagi bersyukur kerana dapat kesan awal. Rakan - rakan senasib ini jugalah beri nasihat dan kekuatan untuk aku terus kuat dan tabah menghadapi dugaan ini. Mungkin ini merupakan salah satu penghapus dosa - dosa lampau aku dan aku kini redha dan positif menghadapi hari-hari mendatang.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana selepas aku habis study aku diterima kerja tanpa sebarang masalah dan halangan mengenai status aku dan status ini masih lagi menjadi rahsia untuk diri aku dari keluarga, rakan - rakan dan juga rakan sekerja. Aku lebih selesa untuk tidak mendedahkan perkara ini demi menjaga hati dan juga perasaan ahli keluarga serta tak nak meraka risau dan jatuh sakit jika perkara ini diketahui. Biarlah aku tanggung sendiri kerana aku yang memilih jalan ini dan biar aku saja yang tanggung. Alhamdulillah dari hari ke hari aku menjadi orang yang lebih kuat, positif dan tabah. Rakan - rakan senasib banyak membantu dalam memberi nasihat dan juga berkongsi pengalaman mereka. Bersyukur dipertemukan dengan rakan - rakan senasib tersebut walaupun tak pernah bersua muka tetapi kami sering berinteraksi di dalam group whatsapp. Ada diantara mereka yang sudah berkahwin dan aku tumpang bahagia. Syukur tiada masalah bagi pasangan mereka untuk terima pasangan hidup yang status sedikit berbeza. Inilah kuasa Allah S.W.T. Aku berharap satu masa nanti aku dipertemukan dengan pasangan hidup yang mampu menerima aku seadanya dan mampu susah senang dengan seorang yang bergelar ODHA/PLHIV ini. Amin Ya Rabbal Alamin.

Semoga kalian semua yang senasib mampu mengambil iktibar serta kuat dalam menjalani hidup. Apa yang lebih penting adalah untuk kita makan ubat mengikut waktu serta menjalani hidup yang sihat. Sentiasa memakai pelindung sekiranya berhubungan. Bukan untuk menggalakkan tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk tidak menjadikan orang lain sebagai mangsa dan mengalami nasib yang sama seperti kita. Semoga perkara ini menjadi jihad kita dan diterima sebagai amalan oleh Allah taala. 

Kepada yang masih menjalani gaya hidup bebas tetapi masih terselamat, sila berhati - hati juga dan sentiasa memakai pelindung demi menjaga masa depan anda. Mungkin kita rasa pasangan kita bebas dari sebarang penyakit tetati mencegah lebih baik dari mengubati. Sentiasa menjalani pemeriksaan HIV dan STD berkala. Jangan malu untuk mendapatkan bantuan dari rakan-rakan outreach MSM dan juga nasihat doktor. Anda boleh ke klinik - klinik kesihatan yang mesra dengan layanan untuk mendapatkan bantuan bagi ujian HIV. Jangan malu untuk pemeriksaan kesihatan kerana anda akan menjadi malu sekiranya sudah terjebak dengan virus HIV nanti.

Akhir kalam dari saya, jalani hidup sihat tetapi sentiasa berhati-hati dalam melakukan hubungan kerana luaran tidak sama seperti dalaman dan sentiasa memakai pelindung demi menjaga masa depan. 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan sila berhubung melalui email aku di sayapositif@yahoo.com

Assalamualaikum!